Nyah kamu, 13 Mei 1969!

May 15, 2009 at 12:11 am Leave a comment

Saya dilahirkan ke dalam sebuah Malaysia yang aman. Malaysia yang membangun dengan pesat, mengejar modenasasi dan begitu mengidamkan status negara kelas pertama. Saya membesar di dalam sebuah Malaysia yang majmuk dengan pelbagai bangsa dan agama, sebuah Malaysia yang pada dasarnya bertoleransi terhadap kepelbagaian yang ada di kalangan rakyatnya.

Saya lahir selepas tragedi 13 Mei 1969 berlaku. Akan tetapi, walaupun setelah berdekad lamanya, hari tersebut masih dijadikan momok yang kesannya dapat dirasakan sehingga kini.

Tidak ramai yang sebenarnya tahu apa yang sebenarnya berlaku pada hari itu. Apakah pencetus keganasan yang menyebabkan kita menumpahkan darah sesama kita?

Benar, terdapat “versi rasmi” peristiwa tersebut yang terkandung di dalam buku Sejarah sekolah dan diulang oleh para bijak pandai akedemik. Tetapi “versi rasmi” sesuatu peristiwa sejarah hanyalah naratif yang “dihalalkan” oleh mereka yang berkuasa.

Kita tidak dapat menafikan bahawa walaupun kita semua mengetahui kesan akibat peristiwa itu, tidak ramai yang tahu apakah sebenarnya penyebab peristiwa tersebut.

Tetapi dari masa ke semasa, kita diperingatkan akan keganasan yang tercetus akibat rusuhan kaum yang berlaku. Kita sering dibawa kepada suatu masa di mana anak Malaysia membunuh anak Malaysia atas dasar perkauman.

Kita diberitahu, dari masa ke semasa, tentang apa yang akan berlaku sekiranya kita menganggu keharmonian antara kaum yang kononnya begitu rapuh. Sekiranya status quo dipersoalkan maka jalan-jalan Kuala Lumpur akan sekali lagi bermandi darah. Sekiranya tidak ada undang-undang seperti Akta Hasutan dan ISA, maka sudah tentu 13 Mei akan kembali. Sudah terlalu lama kita ditakutkan dengan peristiwa 13 Mei.

Tidak dinafikan, peristiwa 13 Mei 1969 adalah peristiwa tragis yang tidak harus berulang lagi. Ianya merupakan pengajaran yang penting di dalam kita membina sebuah negara-bangsa untuk tanahair kita yang masih muda ini.

Namun sampai bila harus kita dirantai dan diheret oleh peristiwa silam? Kita harus mara kehadapan dan tidak lagi dibelenggu oleh titik hitam itu.

Kita harus bersatu padu dan menjadi sebuah masyarakat yang berbilang bangsa, berbilang agama dan berbeza ideologi namun meraikan kepelbagaian ini. Perpaduan bukan bermakna kita diasimilasi menjadi sebuah masyarakat homogeni seperti negara lain, kerana asimilasi sebegitu adalah palsu dan sudah tentu akan menerima tentangan. Tidak, perpaduan kita harus dicapai walaupun kita mempunyai kepelbagaian.

Tidak cukup untuk kita hanya melaungkan “toleransi antara kaum” sebagai matlamat kita.

Tidak cukup untuk kita mengatakan bahawa kita bersatu hanya kerana kita mempunyai rakan berlainan bangsa, atau menziarahi rumah terbuka setiap kali musim perayaan.

Perpaduan hanya akan tercapai dengan kepercayaan dan penerimaan.

Setiap di antara kita harus percaya bahawa setiap anak Malaysia mempunyai tempat di bumi bertuah ini.

Setiap di antara kita harus menerima sesama kita tanpa mengambil kira apajua perbezaan yang ada di antara kita.

Kita tidak boleh menafikan tragedi 13 Mei.

Kita juga tidak boleh melupakannya. Tetapi cukuplah ia menghantui kita selama ini. Jangan kita biarkan walau sesiapa menggunakannya lagi untuk memisahkan kita mengikut garis-garis kaum dan agama.

Marilah kita sama-sama berikrar bahawa walau apapun yang berlaku selepas ini, kita tidak akan lagi mencari keganasan sebagai jalan penyelesaian kepada ranjau yang kita tempuhi.

Marilah kita dengan yakin berjanji sesama kita bahawa kita tidak akan lagi mengangkat senjata menitiskan darah antara kita walau apapun jurang perbezaan yang ada di antara kita.

Wahai anak-anak Malaysia, sudah terlalu lama kita memanggil Malaysia sebagai ibu peritwi, terlalu lama kita tinggal bersama, tertawa bersama, menangis bersama, bersorak bersama, marah bersama, sayang bersama, kerja bersama, makan bersama, minum bersama, berjuang bersama dan berjalan menempuhi rintangan yang sama.

Sudah terlalu lama kita bersama sehinggakan kita tidak sanggup lagi melihat peristiwa 13 Mei berulang di tanahair ini, tanah tumpahnya darah kita.

Setelah 40 tahun ia menghantui kita, marilah kita nyahkan momok 13 Mei sejauh mungkin.

Entry filed under: Uncategorized. Tags: .

May 13 – redeeming the tragedy The Truth Shall Set You Free – A series of essays by Bob Teoh of Sin Chew

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


Recent Posts

IN MEMORY OF ALL VICTIMS OF MAY 13, 1969


%d bloggers like this: